Mak, tak sabar rasanya adik nak melihat dunia. Mesti cantik kan? Tapi, adik tahu. Masanya lambat lagi, belum tentu adik sempat. Mak nak tahu kenapa? Sebabnya adik tahu, kehadiran adik tidak diperlukan oleh mak. Mungkin secara tidak sengaja adik wujud. Adik takut, sebelum sempat adik keluar menjenguk dunia, emak akan apa-apakan adik. Adik taknak, adik takut. Mak, adik sayang mak. Walaupun adik tahu, mak tak sayangkan adik, tapi.. Adik terlalu sayangkan mak.
Mak,adik ingat lagi bila mak tahu adik dah bernafas dalam rahim mak, mak cuba gugurkan adik. Macam-macam usaha yang mak buat, makan nanas muda, telan segala macam pil dan minum cuka, namun mak tak berjaya. Adik masih lagi bernafas. Tapi, adik tahu. Adik dah tak cukup sifat. Adik cacat mak. Kenapa mak lakukan semua ini? Mak memang betul-betul tak sayang adik ke?
Mak, adik teringin sekali mendengar suara garau seorang lelaki yang bergelar ayah. Ke mana ayah adik menghilang? kejamnya dia tinggalkan mak seorang diri. Mak mesti sedih kan? Insan yang sama-sama berkongsi kasih, berjanji setia dengan mak hilangkan diri begitu sahaja. Ayah kejam kan? Walaupun adik sedar, mak pun tak perlukan adik, tapi adik tahu, jauh di sudut hati, mak masih sayangkan adik. Buktinya, selepas adik 5 bulan dalam rahim mak, mak dah tak cuba gugurkan adik lagi. Adik sayang mak.
Mak tahu, walaupun adik dah tak sempurna. Tapi adik sihat. Adik makin tak sabar-sabar nak lihat dunia. Adik nak teman mak. Adik tahu, sekarang ni mak seorang diri menanggung derita. Keluarga mak pun dah buang mak dengan alasan mak dah malukan keluarga. Nanti bila adik dah keluar, adik nak cuba hiburkan hati mak. Mak tahu kenapa? Sebab adik sayangkan mak.
Mak,adik rasa masa untuk adik keluar hampir tiba. Cukup sembilan bulan mak bawak adik ke mana sahaja. Maafkan adik terpaksa menyakitkan mak. Adik tak sabar-sabar nak lihat dunia. Tentu mak sakit kan? Masa mak nak lahirkan adik, mak bertarung nyawa. Antara hidup dan mati. Sekali lagi, adik mintak maaf. Bila adik dah berjaya keluar, adik menangis. Kuat bunyinya, adik sebenarnya takut nak menghadapi cabaran di dunia. Adik takut adik tak mampu. Kalau boleh, adik tak nak jadi macam mak.
Tapi, bila adik keluar. Mak hanya mampu tengok adik. Tiada sebarang respon dari mak. Adik lihat sekeliling, tiada siapa pun yang bersama mak. Mak seorang diri. Adik kagum dengan mak, mak sengat tabah. Tapi kenapa mak di sini, gelap sangat. Adik takut. Baru adik tahu, mak lahirkan adik dalam semak!
Mak, mak nak bawa adik pergi mana? Adik lapar, adik nak susu, adik sejuk. Nasib baik mak bungkus adik dengan kain batik, adik dah tak sejuk lagi. Terima kasih mak. Tapi, kenapa mak jalan laju sangat? Mak kan masih lemah, adik pun tak ada tenaga lagi. Mak nak pergi mana?
Mak, busuknya kawasan ni. Adik tak tahan dengan bau busuk ni. Kenapa kita di sini. Mak, jangan tinggalkan adik sorang-sorang kat sini. Adik takut. Adik lapar. Mak tak bagi susu pun lagi. Tapi, sebelum pergi. Mak pandang adik. Mak cium adik, sekarang baru adik tahu, mak pun sayang adik seperti adik sayangkan mak. Tapi, kenapa mak nak pergi jugak. Adik takut mak. Mak, jangan pergi!! Adik menjeri, adik menangis. Tapi adik tahu, mak tetap akan pergi.
Mak, adik sejuk kat sini. Semut-semut dah mula gigit tubuh kecil adik. Sakit mak. Adik lapar, adik sakit, adik takut. Tapi adik tahu, sekuat manapun adik menjerit dan menangis, mak takkan patah balik. Mak nekad tinggalkan adik kat sini.
Mak, adik dah tak berdaya lagi. Adik rasa tubuh adik dah lemah. Mungkin masa adik di dunia singkat. Tapi adik bersyukur, sekurang-kurangnya mak masih bagi peluang untuk adik melihat dunia. Terima kasih sekali lagi mak. Adik dah tak terdaya lagi, nampaknya adik terpaksa pergi. Mak, nanti kita jumpa di "sana". Tapi kalau adik tak dapat bagi shafaat kat mak, maafkan adik. Selamat tinggal mak, selamat tinggal dunia.
Nota: kisah ni aku terbaca dalam sebuah majalah 'mastika', semoga ianya dapat memberi pengajaran kepada kita.
No comments:
Post a Comment