Sunday, March 29, 2009

Berkahwin kurangkan risiko nyanyuk


LONDON: Berkahwin dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit Alzheimer apabila satu penyelidikan baru menunjukkan mempunyai pasangan pada pertengahan usia, dengan individu yang mempunyai pasangan berisiko kurang 50 peratus untuk mengalami nyanyuk.

Ia mendapati mereka yang keseorangan selepas perceraian berisiko tiga kali ganda mengalami Alzheimer di kemudian hari.
Kajian selama 21 tahun menekankan risiko tinggi menghadapi masalah ingatan dan kognitif bagi semua individu yang keseorangan, sama ada bujang, bercerai atau kematian pasangan.

Penyelidikan terdahulu menunjukkan pengasingan sosial atau kurang hubungan peribadi meningkatkan risiko nyanyuk dan penurunan mental, dengan pakar Amerika Syarikat tahun lalu mendakwa individu keseorangan lebih berkemungkinan mengalami penyakit otak pada usia tua.

Namun, kajian Sweden yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa mengenai Penyakit Alzheimer di Chicago, baru-baru ini, membuktikan secara khusus bahawa berkahwin dapat mengurangkan risiko nyanyuk.
Alzheimer adalah punca utama nyanyuk, yang menjejaskan lebih 700,000 penduduk Britain.

Dalam kajian terbaru, penyelidik yang diketuai Dr Krister Hakansson dari Institut Karolinska di Stockholm memeriksa rekod 1,449 penduduk pertengahan usia di Finland dan sekali lagi pada tahun 1998, purata 21 tahun kemudian.

Secara keseluruhan, 139 mengalami beberapa bentuk masalah nyanyuk, 82 dengan masalah kognitif sederhana dan 48 menghidap Alzheimer.

Pasukan penyelidik mendapati mereka yang tinggal bersama pasangan pada pertengahan usia berisiko kurang 50 peratus untuk nyanyuk pada kehidupan lewat berbanding yang tinggal sendirian.
Ia mengekalkan kes walaupun selepas pengubahsuaian dibuat bagi faktor yang dikaitkan dengan risiko tinggi Alzheimer termasuk pendidikan, obesiti, kolesterol, tekanan darah tinggi, pekerjaan, aktiviti fizikal, tabiat merokok, kemurungan, gen, usia dan jantina.

Penyelidik mendapati mereka yang kekal membujang sepanjang hayat berisiko dua kali ganda untuk nyanyuk.

Pasangan bercerai yang membujang selepas berpisah dengan pasangan pada pertengahan usia berisiko tiga kali ganda.

Lebih dramatik, mereka yang kehilangan pasangan sebelum pertengahan usia dan kekal membujang berisiko enam kali ganda untuk nyanyuk berbanding mereka yang berkahwin pada pertengahan dan akhir hidup.

Dr Hakansson berkata: “Kajian ini menunjukkan faedah berkahwin, selari dengan hipotesis umum rangsangan sosial sebagai faktor pelindung daripada nyanyuk.”

Jurucakap Tabung Penyelidikan Alzheimer, Rebecca Wood, berkata hasil kajian itu amat membimbangkan bagi United Kingdom, yang menyaksikan kadar perceraian tinggi di kalangan penduduk, selain peratusan perkahwinan pada paras paling rendah serta peningkatan penduduk tua.

“Kita amat memerlukan lebih banyak penyelidikan dibuat mengenai faktor gaya hidup dan risiko nyanyuk jika mahu mengekang wabak nyanyuk di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Susanne Sorensen dari Persatuan Alzheimer berkata, sesiapa saja boleh mengambil langkah mengurangkan risiko, dengan atau tanpa pasangan seumur hidup.

“Orang bujang tidak sepatutnya bimbang - terdapat banyak cara mengurangkan risiko nyanyuk yang tidak membabitkan perkahwinan. Bukti terbaik ialah mengamalkan cara pemakanan Mediterranean, kerap bersenam dan tidak merokok,” katanya.

INFO: Alzheimer
• Sejenis penyakit otak yang secara perlahan-lahan memusnahkan daya ingatan dan kemampuan berfikir.
• Penghidap baru dikatakan muncul setiap 71 saat
• Simptom atau gejala pertama ketara lazimnya muncul selepas 60 tahun
• Ini termasuk lupa nama orang, nombor telefon, tarikh, tempat kerap dikunjunginya seperti rumah atau pejabat.
• Penghidap juga sukar berfikir ketika bercakap, sukar mencari perkataan yang betul dan tertekan apabila membuat keputusan
• Seramai 5.2 juta penghidap di Amerika Syarikat
• Menjadi punca keenam kematian utama.


rujukan: berita harian online

2 comments:

Khairul Rrijal said...

untuk memilih suami,utamakan pasangan yg tidak merokok ye tuan blog, ini adalh kerana :

1. Perokok sentiasa melakukan perkara yang ditegah oleh agama iaitu merosakkan diri. Majoriti para ulama zaman ini mengharamkan rokok.
2. Perokok bukan sahaja membahayakan diri, tetapi juga keluarga; isteri dan anak-anak yang akan terhidu asap beracun rokok. Sepatutnya ibubapa melindungi anak dan keluarga, bukan membahayakan mereka.
3. Ramai perokok yang tidak menjaga kebersihan. Bahkan rokok itu sendiri mengotorkan diri. Di samping betapa banyak tandas dan kemudahan awam lain rosak atau cacat disebabkan kesan rokok yang dihisap oleh penggunanya. Ciri yang seperti ini kurang baik bagi seseorang bapa yang akan mengepalai keluarga dan rumahtangga.
4. Rokok adalah pembaziran. Ramai perokok yang ketagihan sanggup utamakan membeli rokok daripada pemintaan keluarga atau keperluan keluarga yang lain. Mereka berkira untuk perkara-perkara yang baik atau perlu, tetapi lupa diri atau ringan tangan untuk membeli sekotak rokok yang sentiasa meningkat harganya.
5. Merokok adalah contoh yang tidak baik untuk anak-anak. Maka perokok mencacatkan ciri-ciri keibubapaan. Justeru, ramai anak perokok turut merokok samada setelah dewasa atau sebelum cukup dewasa.

nurul afiza said...

thanks la bg komen..insyaallah, sy akn cube mncari calon suami yg x merokok..kalo yg pernh merokok pun, hrp2 die akan stop merokok lpas kawin.. xgtu pemberi komen? hehe